Perjalanan Akademik

Perjalananku yang belum selesai ini bermula di Kg. Banggol Sena, Mata Ayer, Perlis Indera Kayangan. Langkah pertama di Tadika Guar Nangka dan seterusnya memulakan pengajian rendah pertama di Sek. Ren. Keb. LKTP Felda Chuping, Perlis. Seterusnya menyambung pengajian rendah di Sek. Keb. Guar Nangka. Mungkin dek kerana keputusan UPSR yang kurang memberangsangkan aku menyambung pelajaran menengah di Sek.Men. Agama Al-Islahiah Behor Mali, Simpang Empat, Perlis. Selepas PMR 1995 aku menyambung pelajaran di Sek.Men. Agama Arau (Tempat lahirnya tokoh agama dan ilmuan negara terkenal seperti Dato' Dr. Harun Din dan saudaranya Dato' Dr. Hassan Din).

Selepas berakhirnya SPM 1997 buat pertama kalinya kaki ini melangkah keluar dari bumi Perlis untuk menimba ilmu di Universiti Putra Malaysia (Program Matrikulasi). Selepas tamat program matrikulasi selama setahun di Serdang, aku memohon untuk mengikuti program Bacelor Sains (Sains Samudera) di UPM Caw. Terengganu dan buat pertama kali jugalah kaki ini melangkah ke Negeri Penyu Menangis. Ramai jugak kawan-kawan di UPM Serdang yang seolah-olah mengejek niat suciku untuk menimba ilmu. Alhamdullillah pada tahun 2002 aku telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama.

Pada tahun 2002 juga aku terus menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Geokimia Marin. Lambat jugak habis sebab pada tahun 2004 aku telah mendapat kerja di UMT sebagai pegawai perikanan. Namun Tahun 2007 aku berjaya juga menamatkan pengajian sarjana setelah 5 tahun berhempas pulas dan pada tahun yang sama juga aku dapat menempatkan diri dalam saf akademik di UMT.

Setelah 2 tahun bergelumang dalam arena akademik, mungkinkah 2009 membuka lembaran baru untuk aku melebarkan sayap ke luar negara. Tujuannya hanya satu untuk menimba ilmu di peringkat doktor falsafah. Dan kini kompas telah menunjukkan ke arah timur.....negara matahari terbit.